Monday 8 July 2013

UNIKL MSI: Gedung graduan automotif


SEBUT sahaja institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), antara perkara pertama yang akan berlegar dalam kotak fikiran kebanyakan daripada kita adalah yuran pengajian yang tinggi.
Lebih memburukkan keadaan apabila ada sesetengah bidang pengajian yang ditawarkan IPTS tidak diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia menyebabkan pengajian yang diikuti menjadi sia-sia.
Disebabkan stereotaip seperti itu jugalah, tempiasnya turut tercalit kepada Universiti Kuala Lumpur-Institut Malaysia Sepanyol (UniKL-MSI) yang bertapak di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah sejak 10 tahun lalu.
Sedangkan pada hakikatnya UniKL-MSI sangat berbeza dengan IPTS lain di negara ini kerana ia dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebuah agensi yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
UniKL-MSI juga merupakan sebuah IPTS yang wujud hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Sepanyol dalam bidang pendidikan berkaitan teknologi automotif.
Atas dasar kerjasama yang terjalin itu jugalah hampir semua peralatan dan mesin yang dipasang di bengkel dan makmal di institusi pengajian itu didatangkan khas dari negara berkenaan. Ia sebagai sebahagian daripada program perpindahan teknologi ke negara ini.
Menurut Dekan UniKL-MSI, Profesor Rusli Othman, kerajaan Sepanyol telah menyediakan geran sebanyak AS$8.5 juta (RM26 juta) menerusi kerjasama tersebut untuk membangunkan sebuah institusi pengajian teknikal.
“Daripada peruntukan yang disediakan itu, sebanyak AS$5.9 juta (RM18 juta) telah dibelanjakan untuk membeli mesin dan peralatan buatan negara itu untuk dipasang di bengkel dan makmal UniKL-MSI.
“Sepanyol sebenarnya merupakan negara kedua terbesar di negara ini yang mengeluarkan mesin dan peralatan teknikal selepas Jerman,” katanya.

Justeru tidak hairanlah saban tahun para pelajar yang lahir dari UniKL-MSI sentiasa menjadi rebutan pemain industri di negara ini.
Perkara itu juga turut diakui oleh para pelajar UniKL-MSI sendiri yang beranggapan mereka telah membuat satu keputusan tepat memilih IPTS berkenaan sebagai pusat pengajian untuk mereka menimba ilmu dalam bidang teknikal.
Menurut Mohd. Fazri Shaari, 28, yang kini mengikuti pengajian tahun akhir di peringkat Ijazah dalam bidang Mekanikal Automotif, dia memilih UniKL-MSI kerana IPTS berkenaan menawarkan pengajian dalam bidang pengkhususan automotif.
“Sebelum ini semasa di peringkat diploma, saya banyak belajar tentang teori sahaja dan selepas itu saya memulakan kerjaya saya di sebuah kilang elektronik.
“Selama setahun saya bekerja, saya cuba mencari institusi pengajian untuk melanjutkan pengajian dan akhirnya saya mendapati UniKL-MSI menawarkan pengajian yang saya inginkan,” katanya.
Lanjut pelajaran di UK
Menurut anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu, sepanjang tiga tahun pengajian di UniKL-MSI, dia banyak belajar tentang kaedah pembuatan produk menggunakan mesin dan peralatan berteknologi tinggi yang ada di makmal dan bengkel institusi pengajian itu.
Malah katanya, menerusi bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh pensyarah, dia berpeluang untuk memasuki pertandingan Eco-Challenge dan Electric Vehicle (EV) anjuran Proton dan Perodua dalam kategori reka bentuk kenderaan.
Dalam pertandingan yang diadakan pada tahun 2011 itu katanya, pasukannya memperoleh tempat ketiga.
Selain itu katanya, dia juga diberi peluang untuk mengikuti pengajian di University of Trento, Itali menerusi program International Student Exchange Networking selama enam bulan.
Malah, apa yang lebih menggembirakan dirinya adalah dia sudah diberi tawaran untuk menyambung pengajian di United Kingdom (UK) dalam bidang mekanikal.
Malah, menariknya pensyarah UniKL-MSI, Zulkarnain Abdul Latiff, 38, menambah, kebanyakan lulusan IPTS itu berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Ini kerana jelasnya sepanjang pelajar di situ, para pelajar diberi peluang untuk melakukan praktikal terhadap sesuatu perkara yang dipelajari berbanding sesetengah IPTS yang lebih mengutamakan teori.

“Pembelajaran di UniKL-MSI lebih kepada secara hands-on menggunakan kaedah 60 peratus praktikal dan 40 peratus teori,” katanya yang merupakan lulusan Universiti Birmingham, UK.
Pengambilan pelajar baharu
Mengulas mengenai bidang pengajian yang ditawarkan oleh UniKL-MSI, beliau berkata, terdapat sembilan bidang pengajian bagi kedua-dua tahap ijazah dan diploma.
Bagi peringkat ijazah katanya, bidang pengajian yang ditawarkan ialah kejuruteraan teknologi automotif mekatronik, pembuatan dan mekanikal selain automotif am.
Bagi peringkat diploma pula katanya, bidang pengajian yang ditawarkan ialah pembangunan dan rekaan mekanikal, pembuatan mol, penyelenggaraan dan pemasangan elektromekanikal, kawalan dan pengaturan automasi serta bidang pengeluaran.
Tambahnya, setiap tahun UniKL-MSI membuat pengambilan pelajar sebanyak tiga kali iaitu pada bulan Januari (pengambilan pelajar diploma dan ijazah), Jun (pengambilan pelajar diploma dan A Level) dan September (pengambilan pelajar ijazah).
Mereka yang berminat untuk mengikuti pengajian di UniKL-MSI boleh melayari laman web www.unikl.edu.my atau menghubungi talian 03-2175 4000 atau terus hubungi UniKL-MSI Kulim di talian 04-4035 199/ 04-4035 200 untuk sebarang pertanyaan. -kosmo

No comments:

Post a Comment